"Dan, sepatutnya ia tak perlu berakhir begini. Tragis begini, kakak..."
Ia adalah satu malam yang susah hendak digambarkan. Cuma yang ada dikaki langit adalah bulan dan awam pucat yang melangsiri cahaya suram bulan. Dan cuma sebuah kerusi batu dan pangkal pokok mati bawah fern usang ini. Fern kuning-coklat-bodoh, macam yang kakak selalu kata.
*************
"Hei, bangunlah! si pemimpi jalanan. Apa kaufikir duit jatuh berdenting dari langit? Hari ini kita banyak tempat nak dituju." jerkah si kurus-brunet yang aku panggil kakak.
"Bodohlah. Kau jugak yang suruh aku kejar anjing semalam. Alah, roti sekeping pun kedekut. Apa kauingat aku tak lelah?" jerkah aku, semula.
Kami langsung tak malu nak mengaku kami ini pengemis. Kami hidup atas belas kasihan orang. Sekurang- kurangnya itu apa yang aku fikir. Tak tahulah kalau kakak juga begitu.
Satu hari. Cerah dan kelam dalam satu masa. Kata lainnya mendung. Seorang ibu dan anaknya lalu, melintas menjeling kami. Dengan sifat suci anak itu bertanya pada ibunya. Aku cuma pasang telinga.
"Ibu, bagi saya 25 sen..." kata anak, "saya nak beri pada mereka."
"Jangan mengada. Mereka... tak layak disini. Ini Kota London, bukan pusat kebajikan." kata perempuan jongos berbaju baldu Sleemth, bangga.
Jijik. Kata mereka kami tak layak berada di sini? Kami manusia. Dan kamu manusia. Apa bezanya? Bukan kami ini anjing Rat Terrier yang layaknya disepak- sepak. Bukan juga satu penni yang kamu jumpa-kutip-buatsebaranghajat-tersenyum. Sekurangnya, penni itu berharga buat kamu.
Berkali aku pusing dan injakkan kepala aku kesana- kemari. Melangut pada langit. Calarkan rintihan aku pada Tuhan. Pusing dan cari kepada mana atau siapa patut aku salahkan. Aku salahkan Tuhan. Salahkan ibu. Salahkan manusia. Salahkan takdir. Memaki dan menjerit pada suatu usia, sehingga bila aku penat, jatuh aku tertidur dan kakak yang akan selimutkan aku, dengan kain apron yang dia jumpa dalam tong sampah belakang Restoran Fielle De Cuetta. Pastikan aku diam, terlena.
Dan pada masa dia yakin aku terlena, dia bisikkan,
"Sabar, akan aku cari suatu kehidupan indah untuk kamu,"
*************
Kakak mati sebab kelaparan. Salah aku mungkin, aku curi makanan sikit pun aku tak serahkan pada dia. Pura- pura tak ada. Buat- buat tak tahu bila dia meminta. Janus-like behaviour. Dalam bahasa mudah bagi orang bodoh, hipokrit. Aku serahkan pada Gereja St. James uruskan kakak. Malam pertama aku dalam Rumah Kebajikan Ibu Mary, aku pecah masuk ke dapur. Curi enamtujuh roti buat bekalan untuk larikan diri. Hasilnya, aku dilibas belantan ketika tidur di bangku sejuk-berkarat di Taman St. James. Darah basahlah yang panaskan aku waktu aku tidur di jalanan Pavilion. Dan anjing yang menjilat kaki aku buat aku tenang sebentar. Sebelum aku tidur berairmata teringatkan janji kakak.
Dunia, tak pernah adil.
Tuhan, tak pernah ada.
Malaikat, tak pernah temankan kita.
Cuma yang ada falsafah bodoh tikus politik yang agungkan Keamanan. Mereka- mereka yang hantar soldadu lengkap Howitzer dengan kain ikat kepala bunuh-mereka-semua. Pergi, tembak, senyumsengih, pulang dengan bangga. Bongkak angkat kepala hidung dan kata pada anak cucu, "Dulu aku mainkan peranan dalam apa yang kamu kecapi sekarang, keamanan." Apa kauingat nyawa manusia semacam kentut yang kaulepas-lepas? Aku mimpikan laungan semula sic semper, tyrannis.
Sikit sahaja yang aku pinta pada kamu. Ya. Kamu. Dan kamu. Cuma perlu kamu fikir apa yang letakkan kamu dalam status kamu. Status quo adalah sampah akal primitif zaman kefeudalan yang cuma menghalalkan konsep ketidakhirauan dalam masyarakat. Kamu kata mengejar moden. Sifar miskin. Tapi aku yang hilang hafas kian detik tetap mengharap pada belas kasihan kamu yang pandang aku dengan jijik bila aku mohon untuk bekerja. Bukannya tahap aku hina seperti hamba. Bukannya aku angkat Kalashnikov rompak Swiss. Bukan. Jadi kenapa Tuhan yang kamu agungkan itu mencipta aku? Untuk sekadar dipandang jelek?
Taraf aku masih seperti manusia. Aku, tetap manusia.
Janji yang kakak bisikkan telah jauh berlalu dalam putaran masa-ruang Einstein. Jatuh pada telinga Maharaja Meiji. Tapi tak jauh dari aku, aku lekatkan dengan gam kasut Dr Martin dalam hati aku. Kakak, dengar sini. Apa yang aku belajar dari semua ini.
Dunia, penuh dengan anti-klimaks. Tidak ada jalan ceritanya indah macam The Sound of Music. Penuh dengan tongong-penjilat-punggung dan peneguk-rasuah. Hitam itu putih, putih itu salah. Tak sepatutnya Ode to Joy wujud dalam dunia ini.
Tidak-mungkin-ada-wujudnya-frasa-happily-ever-after.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan