29.6.09

D; 23hb Jun 2009 pukul 7.48 pagi



Alangkah bagusnya penglihatan
warna warni kiri kanan


Alangkah terangnya tak dituntun
warna warni berpalun-palun


Alangkah singkatnya hari
tadi malam sudah pagi

9.6.09

atas nama surau.

Pada sebuah surau yang dibina di atas nama gotong-royong, berdiri para mukmin, fasik, munafik, zalim, zindik dan segala manusia yang mengaku dirinya beriman.

Di atas nama persaudraan dalam islam, lalu berkumpul dan berpisah mereka kemudian berkumpul lagi lalu berpisah lagi.

Begitulah seolah-olah kemestian setiap Jumaat atau hari-hari kebesaran.

7.6.09

Ini dunia, bukan tempat suci.

Megat berteleku atas kulit beruang bawah senja merah pekat dan hujan darah.

Ini safari kebinatangan.

Ke kiri dan ke kanan mata Megat berlingkar. Menancap pandangan pada yang abstrak dan konkrit. Sekilas jelingan mata Megat memutus-duakan naluri memburu Kugar lewat hujung safari. Melaparlah Kugar itu demikian malam.

Kemudian Megat libaskan lagi, jelingan pada burung unta di semak kering kekuningan tempat matahari berlabuh. Terperanjat burung unta, lantas disodokkan kepalanya dalam tanah. Megat leburkan Burung Unta itu dengan pancaran laser oren dari matanya. Lupus. Yang penakut, tak mungkin dapat hidup di sini.

Megat benci Zirafah. Terlampau. Lidah penjilat panjang, dengan ketinggian yang buat Zirafah sangat bongkak. Megat pandukan pandangannya pada mana- mana Zirafah yang dapat dia temukan. Zirafah panjang akal, macam lehernya. Zirafah tawarkan pada Megat rasa hormat dan bersumpah menjadi pemerhatinya (sungguh pasti) untuk awasi penyelewangan, salah laku, pengkhianatan mana- mana masyarakat safari ini.

Ass- licker. Megat lenyekkan Zirafah di situ juga.


**************************


Dari jauh harimau kumbang lihat Megat.

Megat yang asyik dengan kuasanya.
Megat yang mabuk dengan takhtanya.
Megat yang angkuh bawah senja merah pekat.

Dan hujan darah.

Telah lama harimau kumbang berkira- kira. Segenggam janji manis digaul ke dalam periuk hati warga safari. Secubit rasuah untuk meleburkan hati- hati yang masih liat. Dan fitnah pada Megat digaul secukup rasa. Biar naik aroma kebencian pada Megat derhaka.

Tiba giliran untuk harimau kumbang bersila atas kulit beruang. Sambil- sambil meratah sisa jasad Megat.

Bawah senja merah pekat dan hujan darah.

Dalam safari kebinatangan.