15.8.09

Dia bidadari, aku cuma...


Dia seorang Gadis Solitari yang selalu duduk di bangku bawah pokok teduh itu sambil baca buku.

Dia mungkin tak suka diganggu. Jadi aku cuma memerhatikan dia dari jauh.

Dia sangat cantik, tahu? Pernah sekali salji tiba- tiba turun, aku lihat salji mencair di mukanya.

Cantiknya dia. Sangat- sangat. Macam bidadari.

Cuma aku ini yang penakut. Tak berani langsung nak tegur dia. Penakut aku ini.

Clementine. Itu nama dia, kata mak cik yang jual bunga dekat tepi taman itu. Klasik, kan?

Aku perhatikan dia. Selalu. Bila dia bangun. Bila dia duduk. Bila dia ketawa masa baca buku.

Aku perhatikan semuanya. Aku tak pernah jemu. Dia buat aku semacam... bahagia.

Aku rasa tenang bila aku renung muka dia dari jauh. Tenang, sampai lupa segala masalah.

Bila suatu hari itu, dia hilang dari pandangan aku. Sehari. Dua hari. Seminggu. Sebulan.

Bangsat. Aku tunggu. Sabar. Lama gila. Tetapi dia tetap tak datang- datang.

Bidadari yang duduk di bangku sambil baca buku itu sudah tiada. .

9.8.09

Trek terakhir.


Semalam kau berjalan-jalan lagi. Pada asalnya kau hanya mahu melihat ragam manusia yang aneh di kota. Tapi apabila kau menelusur satu jalan yang sibuk, mata kau tertancap pada sebuah kedai yang menjual disk kompak.

Pandangan kau melirik lagi pada kedai itu. Perlahan-lahan kau menghampiri dan terlihat sehelai kertas merah muda tertampal di pintu kedai.

Di atasnya tertulis kemas, "Hari ini, tepat pada pukul 1800, musik akan mati". Bibir kau melebar. Tawa kau terkeluar. Kau bermonolog dalam hati, bertanyakan pada diri sendiri, bagaimana agaknya bila musik mati?

Kau masuk juga kedai itu akhirnya. Dalam diam kau mengutuk pemilik kedai itu kerana mengesyaki dia yang menampal kertas berwarna merah jambu yang tak masuk akal itu.

Wah, kata kau. Album yang kau tunggu-tunggu itu sudah keluar! Oh, akhirnya! Mata kau berhenti meliar, dan tup!, album itu sudah pun kau mainkan di komputer riba kau.

Kau tersenyum puas. Kaki kau menari lembut mengikut irama. Burung-burung pun ikut menari dan bercip-cip girang di luar tingkap.

Dan sebelum trek terakhir dimainkan, kau naikkan lagi volum pada komputer riba kau.

Dan bila saja trek terakhir dimainkan, tiba-tiba dunia sunyi sepi.

Burung berhenti bercip-cip dan trek terakhir tidak kedengaran langsung.

Dan pada waktu itu, kau melihat jam tangan kau.

Jarum panjang di dua belas, jarum pendek di enam.

Dan trek terakhir tidak kedengaran langsung.

Dan kau merasa celaka.

2.8.09

Hujan itu syahdu, tahu?



Z bangun pada pagi itu dengan satu penyesalan yang teramat sangat. Hujan yang turun lebat- selebat- lebatnya seakan meraikan penyesalan Z pada pagi itu.

Z bangkit dan merenung di luar tingkap, merenung setiap titik hujan yang mencurah. Z mula membayangkan yang pelik- pelik di luar norma fikiran manusia. Dengan seluar pendek dan t- shirt Zara lusuh, Z bersila di tepi tingkap, berkata yang kurang waras; ingin dirinya bangkit pada suatu hari menjadi satu titis air hujan yang jatuh melaju dari langit dan menghentam bumi, biar jangka hayat hidupnya yang sekejap itu tak bermakna apa- apa.

Z juga bayangkan hidupnya sebagai sebuah tayar jentera lumba F1 yang dipandu Felipe Massa (Z tidak mahu dipandu Hamilton kerana Z sedikit racist) yang ruang masa hayatnya cuma 48 pusingan. Itukan juga pengistilahan Kehidupan; sekejap di atas, sekejap di bawah. Dalam tempoh masa yang tersangat laju.

Z tidak mahukan apa- apa memori dalam kehidupannya.

Z serik. Z akur. Z pasrah. Hidup Z penuh dengan kenangan silam yang tak bererti dan tak bermakna. Z lahir di dengan sudu perak di dalam mulut. Setiap hujung minggu zaman persekolahan Z bercuti di luar negara. Z dapat kereta pertama pada umur 15 tahun, sebuah Nissan Fairlady. Selepas SPM, Z terbang ke London untuk meneruskan pengajian dalam bidang yang Z minati, fesyen. Pada umur 24 tahun, Z jadi terkenal seantero dunia dengan jenama pakaian yang dia ciptakan.

Sosial?

Z ada ramai kawan perempuan. Ramai. Sangat ramai. Z ada ramai kawan lelaki. Ramai. Sangat ramai. Tapi Z bukan orang bodoh. Z tahu setiap inci niat sesiapa yang berkawan dengannya, maka Z tidak dibelenggu dengan masalah 'gejala sosial' yang selalu diuar- uarkan oleh penceramah bebas, pakar motivasi, guru- guru mahupun mat rempit. Z sangat pandai jaga diri.

Boleh dikatakan, Z hidup dalam dunia yang (hampir) sempurna.

Z cuma kurang (lebih pada tiada) Kasih Sayang. Kenapa Z kurang (lebih pada tiada) Kasih Sayang, Z tidak mahu cerita buat masa sekarang.

Z duduk di balik birai langsir biliknya sehari suntuk memikirkan kenangan- kenangan hidupnya selama 26 tahun, yang bagi Z tak bermakna dan tak bernilai. Z cuma mahukan sebesar kuman sekalipun, Kasih Sayang untuk dirinya. Z sangat- sangat perlukan Kasih Sayang itu. Great Teacher Onizuka pernah berkata, sesiapa yang tersangkut dalam masa lampau, tak akan dapat menikmati masa depannya.

Ya, Z agak cerewet dalam menilai erti Kasih Sayang.

Maka lewat senja hari itu, Z mengambil satu keputusan yang drastik. Z mahu ambil nyawa sendiri atas sebab- sebab peribadi yang terlalu rumit untuk diceritakan. Z sediakan sebotol pil tidur dan segelas air. Z mula telan sebiji sambil teringatkan ibu bapanya. Z telan dua biji sambil teringatkan pelan lukisan baju terbarunya. Z telan 3 biji sambil teringatkan langit pagi tadi yang hujan. Z telan lagi dan lagi dan lagi sambil teringatkan apa- apa yang perlu diingati.

Bila reaksi pil mula memberi kesan pada badan Z, Z dengan lagak tenang berbaring di atas katilnya. Pada masa ini berlaku sesuatu yang klisé. Z teringat satu janji yang dia pernah katakan pada seorang Bidadari yang dia jumpa di pasar malam 3 tahun dahulu.

Janji yang menjanjikan Kasih Sayang.

Tetapi semuanya sudah terlambat. Z mula rasakan badannya lesu yang amat. Z tutup mata perlahan- lahan dengan hati yang tidak rela. Z ubah keputusan tidak mahu mati dalam keadaan sedang-mati. Penyesalan atas keputusan yang Z lakukan tersangat menghimpit dada Z yang sudahlah sedang sesak nafas. Z mati dalam keadaan yang tidak rela. Sesal- sesesal- sesalnya.

Disebabkan perasaan tidak rela itu, Z bangun pada pagi berikutnya dengan satu penyesalan yang teramat sangat. Hujan yang turun lebat- selebat- lebatnya seakan meraikan penyesalan Z pada pagi itu.

Z bangkit dan merenung di luar tingkap...