
Z bangun pada pagi itu dengan satu penyesalan yang teramat sangat. Hujan yang turun lebat- selebat- lebatnya seakan meraikan penyesalan Z pada pagi itu.
Z bangkit dan merenung di luar tingkap, merenung setiap titik hujan yang mencurah. Z mula membayangkan yang pelik- pelik di luar norma fikiran manusia. Dengan seluar pendek dan t- shirt Zara lusuh, Z bersila di tepi tingkap, berkata yang kurang waras; ingin dirinya bangkit pada suatu hari menjadi satu titis air hujan yang jatuh melaju dari langit dan menghentam bumi, biar jangka hayat hidupnya yang sekejap itu tak bermakna apa- apa.
Z juga bayangkan hidupnya sebagai sebuah tayar jentera lumba F1 yang dipandu Felipe Massa (Z tidak mahu dipandu Hamilton kerana Z sedikit racist) yang ruang masa hayatnya cuma 48 pusingan. Itukan juga pengistilahan Kehidupan; sekejap di atas, sekejap di bawah. Dalam tempoh masa yang tersangat laju.
Z tidak mahukan apa- apa memori dalam kehidupannya.
Z serik. Z akur. Z pasrah. Hidup Z penuh dengan kenangan silam yang tak bererti dan tak bermakna. Z lahir di dengan sudu perak di dalam mulut. Setiap hujung minggu zaman persekolahan Z bercuti di luar negara. Z dapat kereta pertama pada umur 15 tahun, sebuah Nissan Fairlady. Selepas SPM, Z terbang ke London untuk meneruskan pengajian dalam bidang yang Z minati, fesyen. Pada umur 24 tahun, Z jadi terkenal seantero dunia dengan jenama pakaian yang dia ciptakan.
Sosial?
Z ada ramai kawan perempuan. Ramai. Sangat ramai. Z ada ramai kawan lelaki. Ramai. Sangat ramai. Tapi Z bukan orang bodoh. Z tahu setiap inci niat sesiapa yang berkawan dengannya, maka Z tidak dibelenggu dengan masalah 'gejala sosial' yang selalu diuar- uarkan oleh penceramah bebas, pakar motivasi, guru- guru mahupun mat rempit. Z sangat pandai jaga diri.
Boleh dikatakan, Z hidup dalam dunia yang (hampir) sempurna.
Z cuma kurang (lebih pada tiada) Kasih Sayang. Kenapa Z kurang (lebih pada tiada) Kasih Sayang, Z tidak mahu cerita buat masa sekarang.
Z duduk di balik birai langsir biliknya sehari suntuk memikirkan kenangan- kenangan hidupnya selama 26 tahun, yang bagi Z tak bermakna dan tak bernilai. Z cuma mahukan sebesar kuman sekalipun, Kasih Sayang untuk dirinya. Z sangat- sangat perlukan Kasih Sayang itu. Great Teacher Onizuka pernah berkata, sesiapa yang tersangkut dalam masa lampau, tak akan dapat menikmati masa depannya.
Ya, Z agak cerewet dalam menilai erti Kasih Sayang.
Maka lewat senja hari itu, Z mengambil satu keputusan yang drastik. Z mahu ambil nyawa sendiri atas sebab- sebab peribadi yang terlalu rumit untuk diceritakan. Z sediakan sebotol pil tidur dan segelas air. Z mula telan sebiji sambil teringatkan ibu bapanya. Z telan dua biji sambil teringatkan pelan lukisan baju terbarunya. Z telan 3 biji sambil teringatkan langit pagi tadi yang hujan. Z telan lagi dan lagi dan lagi sambil teringatkan apa- apa yang perlu diingati.
Bila reaksi pil mula memberi kesan pada badan Z, Z dengan lagak tenang berbaring di atas katilnya. Pada masa ini berlaku sesuatu yang klisé. Z teringat satu janji yang dia pernah katakan pada seorang Bidadari yang dia jumpa di pasar malam 3 tahun dahulu.
Janji yang menjanjikan Kasih Sayang.
Tetapi semuanya sudah terlambat. Z mula rasakan badannya lesu yang amat. Z tutup mata perlahan- lahan dengan hati yang tidak rela. Z ubah keputusan tidak mahu mati dalam keadaan sedang-mati. Penyesalan atas keputusan yang Z lakukan tersangat menghimpit dada Z yang sudahlah sedang sesak nafas. Z mati dalam keadaan yang tidak rela. Sesal- sesesal- sesalnya.
Disebabkan perasaan tidak rela itu, Z bangun pada pagi berikutnya dengan satu penyesalan yang teramat sangat. Hujan yang turun lebat- selebat- lebatnya seakan meraikan penyesalan Z pada pagi itu.
Z bangkit dan merenung di luar tingkap...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan