18.7.09


Nia bangun pada pagi itu seperti hari- hari kebiasaannya. Cuma pada pagi itu dia (hampir) mati oleh terkejut, kerana mendapati bayang- bayangnya tidak wujud di dalam cermin yang dia sedang berhadapan.

Nia menjerit sekuat hati pada mulanya, berlari keluar dari tandas sambil menghempas pintunya sepenuh tenaga, terduduk, menangis, menangis dan menangis.

Nia cuba- cuba ingatkan kemana bayangnya pergi melarikan diri. Tanpa bayangnya, mustahil dia akan tahu jika baju Columbia dia padan dengan Bvlgari Diagono peraknya? Ataupun gaun ropos- ropos baldu Madeleine Vionnet klasik itu kena dengan cuaca di luar? Atau serabut mana rambutnya yang bagai-ditiup-angin-berarak selepas bangun tidur itu? Satu- persatu difikirkan Nia, apa lagi masalah yang timbul tanpa kewujudan bayangnya. Sambil menangis, ya.

Nia duduk diam- diam tepi katilnya, nyalakan sebatang rokok dan lapkan air mata yang masih bersisa. Nia kumpulkan kudrat segala yang termaha dalam dirinya. Sambil- sambil Nia cuba membuat dirinya nampak tabah, Nia susun memori dia pada malam sebelum itu, dan juga malam- malam sebelumnya, jika ada apa- apa tindakan tidak munasabah yang Nia telah lakukan sampai bayangnya merajuk melarikan diri.

Tarik nafas dalam- dalam dan Nia mula berfikir diam- diam.

Hampir tertumpah lagi air mata Nia apabila dia langsung tidak ingat apa- apa tentang apa- apa yang telah terjadi. Apa yang tersurih dalam ruangan terakhir memori Nia pada malam sebelum itu, dan malam- malam sebelumnya, Nia sedang minum- minum di bar, dan kemudiannya, Nia bangun dengan bayangnya yang telah tiada.

Nia langsung tidak ingat pada malam sebelum itu dia telah berjudi dengan Dewa Maut, mempertaruhkan bayangnya, dan kalah (dengan teruk).

5.7.09

racau.

tofan gila sentiasa gelora.meredah dan menjerit luka.tanah yang lenggang masih terbelah-belah.dataran gersang dan gunung-ganang berdegup seirama dengan hati.

mengira-ngira usia lalu dan tersisa.berkali-kali sebentar terteka.sedikit terkesan.
masih meracau-racau erti gemilang.masih terkocak-kocak erti bahagia.

mana hilangnya si perindu alam.barangkali bayang-bayang serlah sinarnya ditindih bayang derita nan pekat.terdera anak-anak mega dalam gempa dan garau.

dan suara itu masih sentiasa ragu calar balar dan palsu dalam keyakinan.bertanya-tanya.bila erti wajah damai akan pulang.