Dengan seluar tiga suku, dipadankan jersi Chelsea-Siam-Mari, bawah lampu oren jalan. Atas meja kedai mamak, sebatang rokok Surya di celah tangan kiri, dan sebatang pen Kilometriko hasil rembat kawan sebilik.
Sehelai tisu. Dua helai tisu. Dan terus menjadi tiga.
Lan menulis penuh estatik. Campurkan sedikit unsur epik. Gubahkan ayat- ayat jadi unik. Yang berirama satu sama lain. Sambil- sambil minum teh O ais kurang manis. Mana boleh dibiarkan ide yang turun dari langit masa tengok bola diseling sembang politik, dibiarkan sebegitu sahaja. Lan berjiwa penulis sejati.
Tulis, dengan penuh ghairah dan vivid.
Lan tulis lagi, penuh cekal. Tak ada kertas, tisu pun boleh. Asalkan ide yang datang tak dibiarkan menghilang macam asap rokok. Lan kerahkan neuron bertindak semaksimum mungkin. Bagai dewa Muse tersenyum sebelah telinga dan bisikkan bait- bait ayat.
Masukkan unsur- unsur skeptik. Dan secubit alasan anarki, di stim dengan falsafah Nietzsche secukup rasa. Biar jadi satu ayat yang mampu meluncur sejarah manusia dan, mungkin, diingati dan dipuja.
"Inilah," Lan kata dengan angkuh dalam hati, "yang dinamakan kreatif."
.........
Lan bangun dan hidupkan EX5. Laju Lan bawa motor balik rumah. Dan Lan tak bayar duit teh O ais tadi. Marah betul dia bila member yang lain kata dia pelik. Tak faham jiwa dia, rungutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan