28.10.09

Selamat tinggal, hari- hari yang cerah.




Budak kecil itu melongo lihat Bulan pertama kalinya. Sungguh indah terpesona dia dibuatnya. Bulat cerah membara Bulan itu, katanya. Cantik, comel macam guli. Dia mahu, mahu, mahu pegang, peluk, cium, mimpi bersama Bulan itu.


Sungguh terharu sungguh Bulan. Maka Bulan pun turun ke Bumi, lalu berjanji sehidup bernafas semati sekujur dengan budak kecil itu. Saban malam berdansa pada lagu cinta. Tiap pagi tersenyum bersarapan roti mentega gula.


Bulan, kawan- kawanku, seperti sudah ketemu teman sejatinya. Maka sebarang frasa indah mahupun aduan ala romantik berbentuk "
adukan pada Bulan", ataupun "Bulan sampaikan pesan aku pada dia", ataupun "oh Bulan, enggan melayan diriku lagi" sudah tidak wujud lagi.

Maka ditinggalkanlah serigala- serigala sesat menyalak pada langit yang kosong. Sang pontianak tak lagi mahu keluar waktu malam, ombak tidak lagi pasang surut, dan langsung sudah tidak ada gerhana cincin yang cantik itu. Oh, juga para mufti pening kepala nak tentukan tarikh hari raya. Dan siapapun tak lagi tersenyum pada Bulan. Nanti dimaki gila pula.


Semuanya meratap pada kaki langit yang hiba, sepi dan sedih.


Akan tetapi Bulan tak sanggup untuk pentingkan diri sendiri. Bulan sedar dirinya penting untuk semua- semua. Jadi Bulan terbit semula ke permukaan langit, tinggalkan budak kecil yang terpinga- pinga hampir menangis. Bulan tak sanggup untuk lukakan hati budak kecil yang masih putih persih. Yang masih naif untuk bermain dengan Cinta.


Maka Bulan kirimkan padanya Bintang- Bintang, supaya tidur malamnya lebih gemerlapan. Supaya budak kecil itu punya teman untuk menari lagu cinta dan bersarapan roti mentega gula. Supaya budak kecil kembali tersenyum ketawa.

Bulan tak akan punya teman. Bulan sedar, janji yang dia buat pada Dewa Maut telah memakan dirinya sendiri. Sang Bulan sendiri yang minta disanjung dipuja, dengan telah meletakkan Cinta sebagai cagarannya.


Dan Bulan disumpah berseorangan di hujung langit, buat selama- lamanya.


1 ulasan:

  1. jangan mampiri cinta.kelak kau ketagih kerananya.moga jumpa bintang gugur di MASKARA ya?hahaha..

    BalasPadam