9.8.09

Trek terakhir.


Semalam kau berjalan-jalan lagi. Pada asalnya kau hanya mahu melihat ragam manusia yang aneh di kota. Tapi apabila kau menelusur satu jalan yang sibuk, mata kau tertancap pada sebuah kedai yang menjual disk kompak.

Pandangan kau melirik lagi pada kedai itu. Perlahan-lahan kau menghampiri dan terlihat sehelai kertas merah muda tertampal di pintu kedai.

Di atasnya tertulis kemas, "Hari ini, tepat pada pukul 1800, musik akan mati". Bibir kau melebar. Tawa kau terkeluar. Kau bermonolog dalam hati, bertanyakan pada diri sendiri, bagaimana agaknya bila musik mati?

Kau masuk juga kedai itu akhirnya. Dalam diam kau mengutuk pemilik kedai itu kerana mengesyaki dia yang menampal kertas berwarna merah jambu yang tak masuk akal itu.

Wah, kata kau. Album yang kau tunggu-tunggu itu sudah keluar! Oh, akhirnya! Mata kau berhenti meliar, dan tup!, album itu sudah pun kau mainkan di komputer riba kau.

Kau tersenyum puas. Kaki kau menari lembut mengikut irama. Burung-burung pun ikut menari dan bercip-cip girang di luar tingkap.

Dan sebelum trek terakhir dimainkan, kau naikkan lagi volum pada komputer riba kau.

Dan bila saja trek terakhir dimainkan, tiba-tiba dunia sunyi sepi.

Burung berhenti bercip-cip dan trek terakhir tidak kedengaran langsung.

Dan pada waktu itu, kau melihat jam tangan kau.

Jarum panjang di dua belas, jarum pendek di enam.

Dan trek terakhir tidak kedengaran langsung.

Dan kau merasa celaka.

2 ulasan:

  1. Jika musik terhenti selamanya, dia mati..mungkin payah aku nak alunkan hidup..

    BalasPadam