
Kamu pernah kata dulu, dengan nafas yang turun naik dalam bilik yang kamu sangat- sangat benci, kamu tidak sukakan hujan.
"Sayang, kamu tinggal dalam bilik ini keseorangan. Kamu harapkan siapa- siapa sahaja yang datang melawat, bawakan kamu sejambak ros, dan ceritakan kamu apa- apa cerita yang boleh buat kamu tersenyum sendiri."
Hujan di luar merintik. Melaju. Melebat.
"Kamu patut tahu sayang, apakah rasanya ditinggalkan dalam dunia keseorangan, dan ianya sentiasa hujan."
Sebab itu sayang, setiap kali langit akan hujan, aku akan laju menuju kamu. Aku tinggalkan segala- galanya, untuk temankan kamu.
*****
Hujan masih menitik lebat di luar tingkap. Di luar sejuk. Katak pun bersunyi- sunyi di celah- celah batu. Tetapi di dalam bilik yang kamu benci ini panas. Seperti kamu masih ada lagi di atas katil itu, sedang membaca Coelho. Seperti masa dahulu, bila aku akan menjenguk kamu dari luar bilik, dan kamu akan tersenyum seperti budak kecil. Senyuman itu. Ahh sial. Senyuman comel itu sangat aku rindu.
Kamu tahu? Setiap perbualan kita, kamu tak pernah habiskan dengan ucapan selamat malam. Setiap kali kita berbual tentang apa sahaja, kamu akan tertidur tanpa sedar.
Dan kamu tak akan pernah tahu, setiap kali kamu tertidur seperti itu, aku akan cium dahi kamu dan bisikkan selamat malam di telinga nipis kamu. Dan aku berjanji pada kamu esok pasti aku akan datang lagi.
*****
Sayang aku. Adakah di syurga sana juga hujan? Maafkan aku, aku tak dapat temankan kamu sekarang. Tetapi sayang, tunggu aku.
Aku sudah berjanji pada hari terakhir kamu dengan aku di sini, aku akan temankan kamu setiap kali hujan.
Aku pasti akan datang.
aku suka tulisan kau.
BalasPadambahasa kau,cool.
ada masanya bahasa kau usah difahami.
tp masih indah :D